Sekeping hati ini…
terlalu berharga bagiku
disuatu ketika dahulu aku pernah beri
kepada seseorang yang aku percayai dan sayangi
tetapi… tidak dihargai
dirobek-robekkan bagaikan tiada nilai
bila telah menemui sekeping hati yang lebih sesuai dengan jiwanya
dipulangkannya kembali kepadaku dalam keadaan penuh kelukaan
sekeping hati ini…
ku cuba berikan lagi kepada seseorang
diatas kepercayaan dia mampu merawatnya dan
mampu memberikan sinar bahagia
tetapi… sekali lagi
tidak dijaga sebaiknya
dimusnahkan dan dihancurkan
bagaikan kaca yang jatuh terhempas dan berkecai
tidak dipulangkan kepadaku walaupun aku pinjamkan
hanya seketika waktu
sekeping hati ini…
luka dengan parah
lantaran perbuatan hamba bernama insan
bermain dengan kata-kata yang penuh kemanisan
ungkapan rindu dan sayang
tidak pernah lekang dari bibirnya
sehingga terleka dan
jauhnya sekeping hati ini
dari ilahi Rabbi
sekeping hati ini…
penuh dengan luka, parut dan lubang-lubang kesakitan
lubang-lubang itu TIDAK akan tertutup seperti sebelumnya
ia jua…
TIDAK mungkin akan sempurna seperti asalnya
TIDAK mungkin akan sembuh seperti asalnya
TIDAK mungkin akan serupa seperti asalnya
TIDAK mungkin akan ceria seperti asalnya
TIDAK mungkin akan indah seperti asalnya
sekeping hati ini…
sudah terlalu letih untuk menerima kepercayaan seutuhnya
dari hamba bernama insan
ia memerlukan masa yang amat panjang
untuk menyembuhkannya seperti sediakala
lantaran kelukaannya dimasa lalu
sekeping hati ini…
ku ubatinya dengan zikrullah
agar lubang-lubang kesakitan itu dapat ‘ditampal’
walaupun PARUT tetap akan meninggalkan bekas
dan kesakitan itu pasti akan dirasai
selagi roh dikandung badan
ku yakini semua lubang-lubang itu mampu ‘ditampal’
bersama nur ilahi
sekeping hati ini…
walaupun berperang setiap hari dengan dua bisikan
dan setiap saat menyuruh kembali ke zaman silam
tidak akan sesekali aku berpatah semula kebelakang
walaupun ia terlalu letih dengan pelbagai ujian yang datang
akan ku jaga ia dengan zikrullah agar sentiasa lembut
akan ku belai ia dengan bacaan Al-Quran
akan ku berinya makanan setiap hari dengan santapan ROHANI
agar ia tetap terang bercahaya dan tidak akan malap
kerana ALLAH melihat dan menilai sekeping hati ini
bukan kecantikan luaran mahupun harta benda
“Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada jasad dan rupa kamu, tetapi Dia melihat kepada hati kamu…” (HR Imam Muslim)
sekeping hati ini…
ku didik akan bersabar dan tabah
menerima segala ujian duniawi
ku lembutkan ia
agar menerima sekeping hati lain dari seorang insan
yang ada kalam ALLAH dalam hatinya
yang ikhlas dan tulus hatinya
agar sekeping hati ini akan lebih sempurna dan berpasangan
melalui ikatan yang sah
bersama-sama mencari keredhaan ilahi
sebagai bekalan ke destinasi kekal
“Maha Suci Tuhan Yang telah menciptakan makhluk-makhluk semuanya berpasangan; samada dari yang ditumbuhkan oleh bumi atau dari diri mereka ataupun dari apa yang mereka tidak mengetahuinya.” (Surah Yaasin: 36)
“Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri pertunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan yang melimpah-limpah pemberianNya”. ( Surah Ali’ Imran: 08)
No comments:
Post a Comment